Entry: KASIH BAPA SEPANJANG MASA..KASIH IBU MEMBAWA KE SYURGA Tuesday, April 12, 2005




 


KASIH BAPA SEPANJANG MASA,KASIH IBU MEMBAWA KE SYURGA

 

Lima puluh empat tahun dulu

Aku pun lahir

Ke dalam keluarga daif

Yang terwaris turun temurun.

Orang tuaku hanya tahu

Menoreh getah dikala pagi

Menanam padi sebelum senja.

Tidak pernah bersekolah mereka.

 

Orang tuaku sering memikir

Apakah aku ini anaknya

Akan terus mewarisi

Kejerihan hidup sepertinya juga?

 

Empat puluh empat tahun dulu

Usiaku baru sepuluh

Dan orang tuaku masih muda belia.

Berkata bapaku

Di kebun getah bukit Kepat:

 

“jika anakanda ingin hidup sempurna

Dan menjadi manusia berguna,

Tidak menorah getah seperti kami

Dan seluruh keluarga kita sepanjang masa,

Kau anakku mesti tekun belajar

Hingga sampai ke universiti.”

 

Budak kampong di usia seperti aku

Mengerti apa hal universiti?

Bapa hanya tahu

Universiti itu tempat berkumpul

Cerdik pandai dan manusia berguna

 

Tiga puluh empat tahun dulu

Aku pun menjejakkan kaki ke kampus universiti

Sebagai pelajar

Kononnya cerdik lagi pandai.

Orang tuaku yang masih menotreh getah

Lapang hati tiada terkira.

 

Tertepa di kepala satu harapan.

Kata bapa,mereka selalu mengirim doa

Agarku lekas jadi orang berguna.

 

 

Tiga puluh tahun dulu

Sampailah berita

Yang aku sudah lulus jadi doktor

Orang tuaku yang masih lagi menorah getah

Sujud syukur pada ilahi.

Tahulah mereka

Yang aku tak perlu lagi

Menjejak mereka menorah getah.

Orang tuaku sungguh bangga

Kerana pandai mendidik anak.

 

Enam belas tahun dulu

Ketika aku diangkat menjadi professor

Juga dekan fakulti

Bapa pun membungkus mata pisau torehnya

Dan ibu,mata ketam tuai padinya

Dengan secebis kain semutar bapa.

Lalu disangkutnya pisau dan ketam tuai

Pada paku di dinding dapur

 

Orang tuaku mengucapkan selamat tinggal

Pada kebun getah

Pada sawah padi,buat selamanya

 

Tiba-tiba

Segunung padah melanda tiba

Gelap malam pun turun

Menyerkup hidupku

Dengan gundah gulana.

Bumi kupijak rekah tanahnya

Aku pun jatuh ke perlembahan hina.

 

Di saat aku hilang maya

Kau datang, ayah bondaku.

Kau membawa secangkir air penawar tujuh warna

Dan sebatang dian yang bernyala.

 

Anakku,kalau rebah dirimu

Terlanggar batu,dan luka jari kakimu,

Kulit berlumur,darah pun menyembur,

Bangun kau anakku!

Bangun kau anakku!!

Jangan gentar kau pada batu.

Dengan tanganmu

Baling musuhmu itu sejauh mahu”

 

Kau pun basuh arang

Yang terconteng di mukaku.

Kau pulangkan maruahku

Yang telah sekian lama hilang.

Di cahaya dian,aku pun kembali berdiri

Mengukur diri.

Dua tahun lalu

Aku pun menjadi Timbalan Naib Canselor

Penjaga  ank-anak watanku di Menara

Adaka;lanya aku bahagia melihat

Mereka berjaya,berakhlak mulia.

Adakalanya aku berduka,melihat mereka hilang punca.

 

Seminggu lalu

Ketika aku diangkat menjadi Naib Canselor

Air mataku menitis meniti pipi,perlahan

Tiada lagi tertahan.

Bagaimanakah akan ku ceritakanpada ayah bondaku,

Betapa sekian lama aku mengembara

Dalam keringat dan air mata

Berpayungkan doa mereka sepanjang masa,

Kemudian akhirnya

Sampai juga aku di muara?

 

Aku pun segera pulang ke tanah asal keturunanku

Di kesunyian kebun getah

Di tepian sawah

Ke rumah orang tuaku,si penoreh getah,si penanam padi:

 

              Yang buta huruf sedari lahir

               Yang buta angka sedari kecil

               Tetapi yang cerah mata bagai bulan purnama

                Yang terang hati bagaikan suria pagi

 

Kupulang ke rumah si buta

Yang ku panggil ibu dan bapaku.

Yang mengajarku:

Setajam-tajam mata pisau toreh mereka

Tajam lagi si mata pena

 

Kuziarahi orang tuaku

Yang semakin tua dimakan usia.

Kami menatap bersama

Pisau toreh ketam tuai di dinding yang kaya jasa

Yang masih berkelubung mata

Dengan kain semutar bapa.

Kata orang tuaku,dengan matanya tepat ke mukaku:

 

 

“Ceritakanlah pada anak-anakmu

Benarlah,kasih ayah sepanjang masa

Kasih ibu membawa ke syurga”

 

Ku cium tangan orang tuaku

Dengan hujan

Yang turun dari kelopak mataku

 

“Ayah dan bonda

Dian yang kau berikan padaku dulu

Sentiasa ku simpan rapi

Setiap kali malamku menjadi gelap

Dan anak-anakku menangis takutkan kegelapan,

Aku nyalakan dian pemberianmu itu

Pasti malam menjadi terang”

 

 DI TULIS OLEH PROFESOR DR HASHIM YAACOB

NAIB CANSELOR UM
SEMPENA KEMASUKAN PELAJAR-PELAJAR BARU SESI 2004

 

 

   0 comments

Leave a Comment:

Name


Homepage (optional)


Comments